Sabtu, 31 Julai 2010

Beberapa Jam Sebelum Azan Subuh

Mula-mula aku rasa macam banyak benda nak tulis pasal banyak benda yang berlaku dalam perjalanan hidup aku sehari-hari pada minggu lepas. Memang banyak sangat aku nak kongsi dengan kamu semua tentang betapa sibuknya aku mengejar sesuatu yang di panggil dengan nama KEJAYAAN dalam konteks dan pengertian orang-orang zaman sekarang. Sampai tak sempat langsung aku nak check takut-takut ada awek hot request nak jadi kawan kat Facebook, apatah lagi nak curi masa nak tulis-tulis dalam blog ni. Memang tak ada masa. Singkat dan padat.

Berlainan pula pada minggu ni atau lebih tepat lagi waktu sekarang ni yang bersamaan dengan pukul 4.01 minit pagi waktu tempatan pagi Sabtu yang indah permai ni, masa dah agak fleksibel . Dah boleh kasi lentur sikit-sikit. Facebook pun baru tadi dah check. Tak ada apa sangat yang menarik walaupun notification message mencecah angka 100. Masih macam biasa juga. Masih tak ada awek hot yang request nak jadi kawan. Demmmm...

Kalau macam ni nak tulis blog pun tak ada mood! Tak ada motivasi mana boleh nak menulis!

Rabu, 14 Julai 2010

Sekeping Syiling Tahun 1799

Setelah selesai menjamu pulut ayam goreng di sebuah kedai di Kampung Baru, seorang kawan kepada kawan kami menunjukkan sekeping syiling negara Amerika yang dijumpainya dalam sebuah kapal karam di perairan Kelantan beberapa tahun lepas. Katanya, nilai untuk harga syiling yang di temuinya beberapa tahun lepas itu sekarang sudah menceceah nilai USD 20,000. Katanya lagi, itu harga itu sumber tinjauan melalui Ebay. Dia berkira-kira untuk tidak menjual syiling itu buat masa sekarang. Falsafah perniagaan barangan antik, makin lama di simpan, makin tinggi nilainya. Pais menjeling.

Kami semua mengambil kesempatan memegang dan menyentuh serta merasai sendiri syiling perak yang sedikit kehijau-hijauan bersaiz 2 kali ganda syiling 50 sen keluaran negara kita. Aku kurang faham dengan penemuan syiling tersebut seraya cuba mendapatkan kepastian samada kawan kepada kawan kami ni seorang penyelam skuba. Katanya, dia tidak perlu menyelam hatta berenang untuk ke kapal tersebut. Ianya sebuah kapal perdagangan yang sudah berkurun lama tersadai di sebuah pantai di Bachok. Pais menjeling lagi. Kali ini lebih tajam.

Sambung kawan kepada kawan kami lagi, suatu ketika dulu seorang lelaki berpangkat pakcik di kampungnya, seorang nelayan, pernah melakukan selaman ke sekitar kapal tersebut dan menjumpai seketul batu jongkong bewarna kehijau-hijauan juga. Di bawanya batu jongkong itu pulang ke rumah untuk di jadikan batu pengasah. Namun, setelah beberapa bulan menggunakan batu jongkong itu, warna hijau tersebut hanyalah lumut yang melekat dan warna kuning keemas-emasan mula timbul. Pais menjeling lagi sambil merapatkan kedudukan. Dia kelihatan begitu tertarik dengan cerita penemuan barang berharga dalam kapal karam tersebut.

Setelah menyedari yang batu jongkong itu sebenarnya adalah sejongkong emas, seorang lelaki tu berpangkat pakcik yang berkerja sebagai nelayan itu, tidak lagi menjadikan batu jongkong itu sebagai batu pengasah, dan dia juga tidak lagi turun ke laut untuk menangkap ikan. Sedikit demi sedikit emas itu di jual di kedai emas untuk di leburkan menjadi barang perhiasan. Dengar cerita, kedai emas membeli emas tersebut dengan harga RM300 untuk satu gram. Kira la sendiri berapa harganya untuk jongkong emas seberat 1 kilogram itu. Hasil penemuannya itu mengubah kehidupan pakcik tersebut dengan sekelipp mata.

"Kapal tu ada lagi ke sekarang?" tiba-tiba terpacul sebaris ayat dengan nada terdesak dari mulut Pais.

Kami semua terdiam. Hanya mampu menjeling ke arah Pais.

Rabu, 7 Julai 2010

Cerita Hari Cuti

"Kalau tiap-tiap hari macam ni kan best"

Tiba-tiba Nan bersuara memecah kesunyian di pagi suatu hari Ahad. Aku yang baru selesai menulis status di Facebook berpaling ke arahnya. Sekujur badan sedang baring beralaskan kedua-dua belah tapak tangan sambil mendepakan lengan dengan kepala mendongak memandang siling. Terpancar raut ketenangan dan kebebasan yang tak terhingga di wajah Nan. Dia mengukir senyuman, tapi masih kelat.

Tidak tahu apa yang ingin di balas dari kata-kata tadi. Aku hanya diam. Tidak menunjukkan sebarang emosi dari mimik muka. Tidak senyum dan tidak juga masam. Lantas, aku bingkas menyapu punggung menuju ke dapur.

"Tapi kalau tiap-tiap hari macam ni, apa yang best sangat Nan?"

Seraya meletakkan dua biji mangkuk Arcopal kalis ketuhar berisi Maggi kembang. Nan tidak menunjukkan sebarang emosi dari mimik muka. Tidak senyum dan tidak juga masam. Lantas, dia bingkas menyapu punggung menikmati simbol 'ketenangan' dan 'kebebasan' yang terhidang.



Pengajaran dan tauladan : Apa yang tak best pasal makan Maggi kembang ni, selepas setengah jam, kita akan rasa lapar balik.

Sekian!

Ahad, 4 Julai 2010

Mengulangi Sejarah Kejayaan

Agak tipikal untuk bercakap tentang bola sekarang. Dalam jangkamasa kurang dari 10 hari, sebahagian besar orang masih bercakap tentang gila nya Piala Dunia edisi ini bila Argentina kena pukat 4 biji.

Well, bagi mereka yang sebelum ni tak kenal dengan pasukan German, atau obses sangat dengan Argentina, atau mulai menyukai pasukan German pada edisi kali ini. Ni nak bagitau 4 tahun lepas pun Argentina dah kalah dengan German sewaktu German jadi hos piala Dunia. Cuma dulu di tentukan dengan sepakan penalti dan kali ini German mara dengan gol mutlak!

Memang tak nafi, semangat Nazi bukan bawa benda buruk saja dalam sejarah dunia tapi ada bibit-bibit kebaikan yang di terap oleh Hitler khususnya dalam diri orang German. Dan aku tak mahu untuk jadi seorang yang self centered dengan mengaku aku peminat setia German dari dulu. Opssss...dah terlepas cakap.

Kenapa aku suka German? Bukan sebab aku suka Nazi atau aku suka Hitler ataupun sebab aku suka Adidas. Tapi sebab aku tengok filem ni. Kalau belum tengok filem Das Wonder Von Bern (Miracle of Bern), anda sebenarnya tak cukup faham lagi tentang pasukan German dan Wira mereka dulu bukannya Klose atau Podolski atau Mueller atau Ozil atau Klinsmann atau Backenbauer mahupun Blatter sebab dia memang orang Switzerland (tempat German pertama kali menang Piala Dunia). Helmut Rahn adalah wira German sebenar!

Jumaat, 2 Julai 2010

Kehidupan Selepas Mati

Zaman sekarang ramai orang yang tak percaya dengan kehidupan selepas mati. Kata mereka kita mati macam katak kena pijak dengan dengan lori di jalan bendang atau pun kita mati macam kucing kena pijak kereta kat Jalan Ampang. Mati dan cerita kehidupan kita habis di situ saja. Semudah itu.

Tapi ada lagi orang yang percaya katak boleh panggil hujan dan kucing ada 9 nyawa. Kalau macam tu mungkin kita boleh guna katak di negara-negara Afrika yang mengalami masalah kemarau sampai 12 bulan. Kalau macam tu juga, kucing-kucing yang mati kena langgar dengan kereta kat Jalan Ampang tu semua dah pernah mati 9 kali sebelum ni.

Secara klisenya, mereka semua kata kepercayaan bersifat subjektif. Terletak di atas individu yang mendukung etika kepercayaan tu. Aku pula kata, lantak lah apa yang kamu semua nak percaya!

Tapi, percaya atau tidak. Semalam aku bermimpi. Seperti menerima wahyu. Atau mungkin juga bosan dengan kehidupan yang penuh dengan mimpi karut. Lalu, aku bangkit dan mula menulis...kembali!

Rasa pertama yang ada dalam hati buat masa sekarang. Aku rindu dengan penunggang BMX 1 dan penunggang BMX 2!

Mungkin kehidupan selepas mati lebih bagus untuk menebus 'dosa-dosa' di kehidupan sebelumnya. Mana tahu?