Rabu, 8 Julai 2009

Siri Pertama : Keluar Malam-Malam Buta Nak Ambil Gambar Apa?

Pada suatu malam, El Nico (rujuk gambar di bawah) telah menghantar sms kepada aku bertanya khabar. Selepas bertanya khabar, dia cuba 'memancing' aku untuk keluar minum dalam sms keduanya. Katanya dia dan Alfie (rujuk mana-mana gambar) mengalami tahap bosan peringkat 4 iaitu peringkat yang paling tinggi dalam semua peringkat untuk mengukur kebosanan. Risau memikirkan keadaan yang lebih teruk seperti tekanan mental atau sakit jiwa menyelebungi diri mereka, aku dan Aca bersetuju untuk menemani mereka keluar bersosial kerana kami juga sebenarnya mengalami masalah yang sama.

Ini El Nico. Dilahirkan di Bali, Indonesia namun di besarkan di Pasir Mas, Kelantan.

Tanpa membuang masa, Alfie dan El Nico terus bersiap dan datang ke rumah aku. Untuk pengetahuan semua, rumah Alfie dan El Nico hanya ditingkat 2 dan rumah aku di tingkat 3 dalam satu bangunan yang sama. Senang cerita, kami ni jiran.

Lalu berangkatlah kami ke lokasi minum-minum. Lokasi yang menjadi pilihan adalah Tasik Permaisuri yang hanya beberapa minit dari rumah kami. Minum-minum tepi tasik tu kira ok la juga tapi kami tak lepak lama pun. Air dia tawar sikit. Kedekut susu agaknya. Lepas bayar kami jalan-jalan dalam kawasan taman sepanjang tasik. Walaupun kami memang dah tahu dalam tu gelap, tapi kami masuk jalan jalan jugak. Lepas tu. Entah. Apa lagi aku nak cerita ah?.

Ini pose manja dari Alfie dan El Nico untuk kamu semua.

Selasa, 30 Jun 2009

Ucapan Ulangtahun Eksklusif ala-ala Lebih Muda Dari Ku Harap Sabar Menunggu

Sejak berehat dari berblog, ini entri eksklusif aku untuk Jejaka Manis 24, Razaisyam Rashid. Promising young director dan juga prospek panas dalam industri gambar bergerak untuk negara kita buat masa sekarang. Pernah diangkat sebagai pengarah muda indipenden generasi ketiga selepas Yasmin Ahmad dan Fahmi Reza.

Fuh! Port folio yang amat kuat untuk gadis-gadis hot di luar sana yang jiwanya masih belum di miliki oleh mana-mana teruna ataupun jejaka yang sudah hilang teruna. Tapi, pastikan anda seorang yang bijak dan lulus ujian IQ sebelum cuba untuk mengisi borang.

Memandangkan sambutan ulangtahun sama macam Hari Raya Puasa, maksudnya ia hanya datang sekali saja dalam setahun. Dan, cubaan balik lewat dari Urbanscapes dapat di hidu oleh aku dan Pjoe. Maka, segala perancangan untuk memerangkap tuan director ini berjaya di sempurnakan dengan hanya satu panggilan telefon dari dua pelakon tambahan yang juga mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia lakonan untuk siri tv tempatan iaitu Alfie (berbaju hijau) dan El Nico (berbaju hitam).


Memang hot la mamat ni walaupun dalam keadaan berlumuran kuning telur tapi awek aku kool je layan bau hanyir.

Akhir kata, semoga panjang umur, murah rezeki, dapat kereta baru, dapat awek baru, dapat funder baru nak buat movie, dan dapat idea baru macam mana nak belanja kami semua makan Sate Haji Samuri.

Sekian!

Khamis, 21 Mei 2009

Macam Beruang

Aku rasa internet rumah aku dah tak laju macam dulu lagi.

Nak tunggu habis buffer Youtube pun kena tunggu habis sebatang rokok dulu. Kadang-kadang, sebatang setengah. Tengok atas mood la. Tapi, yang pastinya memang perlahan sangat. Sampai aku dah hilang mood nak online.

Jadi, aku rasa aku mahu berehat sebentar. Nak cuba bagi lebih perhatian pada dunia nyata. Mana lah tahu ada ganja ran yang lebih baik untuk aku . Bila aku dah pasang Wymax nanti baru rasa semangat sikit nak online.

Oklah. Aku berehat dulu. Bukan berhenti.

Berehat!

Rabu, 1 April 2009

Putaran, Pantulan dan Translasi

Dia mendongak ke atas. Mengamati setiap putaran pada daun-daun kipas yang tergantung di siling dalam kelajuan nombor 3. Rengekan halus yang berteriak dari mekanisme angin tiruan di atas itu menyakitkan telinga tapi menyejukkan. Dia tak pasti daun kipas mana yang berbunyi. Putaran itu membuatkan mereka nampak seperti satu.

Dia pandang depan semula. Pandangan yang dia nampak sebelum dia mendongak ke atas. Imej yang terhasil dari satu pantulan. Pantulan yang terbias dari sebuah cermin kaca yang di lekatkan di dinding. Dia kenal benar dengan wajah dalam cermin itu. Terutamanya, mata. Fakta sains dan kejadian mengatakan yang saiz mata manusia tidak pernah berubah sejak dari lahir sehinggalah dewasa. Dia angguk-angguk faham. Faham yang satu hari nanti, dia akan mati dengan saiz mata yang sebesar itu juga.

Dia masih pandang cermin lalu menggosok kedua-dua belah mata. Pandangannya nampak berselaput dan berair kebelakangan ini. Dia risau. Risau nanti penglihatannya terus jadi kabur. Lalu, ada yang memberikan pendapat kepadanya samada banyakkan minum air lobak merah dan susu atau pergi saja buat pemeriksaan di optometris yang berdekatan.

Dia tolak kedua-duanya.

Pertama, dari kecil dia memang tidak suka dengan lobak merah. Katanya, lobak merah hanya makanan untuk orang-orang yang sombong. Dia rujuk pada arnab yang di kalahkan kura-kura dalam satu pertandingan lumba lari yang dia pernah tonton dulu.

Kedua, dia tak nampak yang berkaca mata itu satu bentuk rawatan pemulihan. Yang dia tahu, kawan-kawan yang bagi pendapat pada dia pun sibuk nak tinggikan kuasa pada kaca mata selepas beberapa bulan berkacamata. Dia sangsi. Dia sangsi dengan benda yang tidak telus.

Dia lebih sukakan buah asam dari lobak merah atau optometris. Walaupun dia tak tahu apa khasiat sebenar buah asam yang dia selalu kemam, tapi buah-buah asam itu sangat menggiurkan. Dia suka dengan tindakbalas yang berlaku di dalam mulutnya. Tindakbalas yang merembeskan saliva dengan banyaknya.

Dia tersedar.

Waktu sekarang pukul 3 pagi. Dia cuba ingat kembali. Bila waktu yang tepat dia mula tertidur. Dia gagal. Dia tak tahu bila masanya dia terlena.

Dia pandang depan semula. Pantulan yang terbias dalam sebuah cermin yang di hadapnya dari tadi sudah hilang. Hilang bersama serpihan-serpihan kaca cermin dinding tadi. Yang masih ada, hanya frekuensi dalam desibel yang rendah yang terbit dari putaran daun-daun kipas yag menjadi satu.

Dia berkira-kira. Pantulan dan putaran yang terhasil adalah salah satu skop dalam bidang kira-kira. Teknik kira-kira yang di gunakan untuk menjelmakan. namun, dia rasa masih ada satu lagi penjelmaan yang belum sempurna. Dia perlukan translasi untuk dirinya sendiri.

Lalu, dia berura-ura. Esok dia akan dapatkan cermin yang baru. Yang lebih besar.

Ahad, 22 Mac 2009

Hikayat Sebuah Pulau Yang Pinang

Ini kali kedua dalam masa 4 bulan aku pijak kaki di Pulau Mutiara ni. Sebelum ni aku datang atas urusan kerja, tapi kali ni aku datang sebab temankan budak metal dan band dia main gig di Weld Quay.

Pulau Pinang agak padat berbanding Kuala Lumpur. Kemahiran memandu kereta di Pulau Pinang juga memerlukan tahap yang lebih tinggi berbanding di ibukota. Tapi, aku tetap suka dengan Pulau Pinang. Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin atas sebab faktor geografi aku suka. Mungkin atas faktor itu juga, negeri ini nampak unik. Mungkin.

"Saya mahu makan ikan ini dengan adik saya sambil menonton TV2. Adik saya muka macam Melayu tapi dia Cina"

Sepanjang di Pulau Pinang, kawan aku Mat yang jadi penunjuk arah. Sudah setahun dia mulakan hidup baru disini. Dia datang setahun lepas sehelai sepinggang. Tak ada kerja, tak ada rumah dan tak ada duit. Tidur sepanjang pantai Miami sehingga ke Gurney Drive dan menumpang mandi di masjid. Sekarang, dia dah ada kerja saya, kewangan yang stabil, memandu kereta buatan luar negara dan rumah yang di sewa seorang saja.

Aku amat kagum dengan kesungguhan dia. Dia tak pernah berubah. Jika dia mahukan sesuatu, dia akan dapatkannya.

Dari sekolah, kedai kopi, taman bunga sehinggalah ke padang bola. Dia banyak simpan rahsia aku dan cerita dia juga bertimbun dalam poket aku, ikatan ini yang buatkan aku dengan dia boleh pergi jauh sampai sekarang.

"

2 kali aku datang sini, 2 kali juga aku yang kena paksa oleh kawan aku pandu kereta. Sepatutnya, dia lah yang kena bawa sebab aku dah di kira macam pelancong yang melancong dalam negara sendiri. Lagipun, jalan bukannya aku tahu.

Kawan aku balas balik.

"Selagi kau tak bawak sendiri kereta kat sini, sampai bila ko tak tahu jalan dan perangai orang sini"

Ya!

Di Malaysia, jalanraya boleh di jadikan kayu pengukur untuk menentukan fiil seorang manusia.


2 kali datang sini, 2 kali makan nasi kandar Lineclear. 2 kali datang sini, 2 kali pusing jalan-jalan dalam bandar tengah malam masa hujan. Tapi, ini kali pertama datang sini, 2 kali nampak 2 pelangi.

Cantik!