Khamis, 30 Disember 2010

Countdown # 5 : Tewas Tapi Menang

Tiada apa yang boleh dikatakan lagi selain perkataan yang malaysia berhak menang sebagai perkataan yang paling tepat untuk kejayaan putera-putera tanah air kita ni. Impaknya sangat kuat pada kali ni. Apatah lagi kemanisan kejayaan kali ini di cemari oleh tindakan biadap rata-rata penyokong Indonesia.

Sekarang tutup semua mulut-mulut busuk kamu. Khairul Fahmi kena laser pun tak ada la sampai nak minta ref stop game. Macam-macam kalau layan karenah orang. Tambah-tambah orang Indon. Kalau setakat pakai striker mat saleh pandai curi ayam saja buat apa? Bila masa nak gol. Baik ajak main futsal dengan budak-budak Ukay Perdana.

Isnin, 27 Disember 2010

Countdown #4 : Budaya Mulut Laser

Hari ini kerja saya hanya tidur sepanjang hari sampai pukul 3 petang. Rasa sakit tekak dan selesema dari semalam. Malas sungguh nak keluar. Hatta nak keluar beli nasi depan rumah pun malas. Lepas bangun tidur, saya masuk kerja lain. Kerja saya duduk depan TV di selang selikan duduk depan laptop. Rasa macam tak puas betul tengok gol-gol cantik Malaysia semalam.

Dalam Facebook, Youtube, Twitter malah dalam TV pun sampai ke saat ni masih heboh memperkatakan tentang kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Indonesia semalam. Isu kontroversi melibatkan penggunaan laser semalam pun kecoh di perdebatkan oleh kedua-dua penyokong terutamanya penyokong Indonesia yang tidak puas hati dengan kekalahan semalam. Melalui pemerhatian saya komen-komen yang di hantar di kebanyakan laman sosial penuh dengan emosi dan berbaur kata-kata yang kurang enak di dengar seperti MALING, ANJING, dan sebagainya.

Jadilah dewasa sedikit. Terbukti 3 gol semalam adalah hasil dari gerakan-gerakan dan penyudah-penyudah yang cantik dan kemas. Dan mungkin juga penyokong Indonesia kurang perasan yang jentera pertahanan mereka masih banyak yang perlu di perkemaskan untuk menyekat kelincahan pemain-pemain muda Malaysia selain dari menuding jari kearah pancaran laser yang entah dari mana datangnya.

Saya juga tidak suka untuk menyentuh apa-apa isu mau pun sentimen di sini. Cuma, kedua-dua penyokong yang rata-ratanya adalah orang deasa perlu telus dalam mengadili hal ini. Tidak di nafikan ada pancaran laser ketika skuad Garuda di baham Harimau Malaya semalam, tapi jangan pula kita lupa akan peristiwa di perlawanan pembukaan ketika Malaysia tewas 5-1 ke atas Indonesia.


Ini merupakan rakaman video ketika perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Malaysia tewas 5-1. Dari manakah sebenarnya permulaan sub budaya ini dalam bola sepak Asia?

Kesimpulannya berfikir dengan bijak, membuat keputusan dengan bijak dan bertindak dengan bijak dalam pelbagai perkara pasti akan membuahkan hasil sebelum kita saling mencerca sesama sendiri tanpa asas dan usul periksa yang akhirnya akan memakan diri kita sendiri. Jurulatih Indonesia semalam juga telah mengakui yang kekalahan semalam bukanlah di sebabkan oleh insiden laser tersebut.

Jadi, biarlah isu laser ini menjadi sesuatu yang kelakar dan warna warni dalam bola sepak Asia khususnya untuk Malaysia dan Indonesia. Apa yang kita perlu terapkan adalah semangat kesukanan dan persaingan yang sihat di atas padang dan juga di luar padang.

Ahad, 26 Disember 2010

Countdown #3 : Laser Kemenangan Malaysia

Praise be to god!
Alhamdulillah.
Tahniah!

Wah! Seperti tidak percaya yang Malaysia mara ke peringkat akhir kedua AFF Suzuki Cup yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno nanti dengan penuh bergaya setelah membelasah pasukan Indonesia 3 gol tanpa balas. Ternyata skuad negara yang di barisi oleh anak-anak muda yang kurang pengalaman in membuktikan yang mereka mempunyai kelebihan dari segi yang lain itu keazaman dan ketahanan mental yang tinggi. Saya hanya menjangkakan yang sudah memadai satu gol untuk di bawa ke seberang dan jangkaan saya nampaknya sama sekali meleset!

Agak hangat pesta bola AFF Suzuki Cup jesteru peningkatan semasa yang di tunjukkan oleh putera-putera kebangsaan kita ni. Sambutan yang diberikan oleh peminat bola tempatan agak luar biasa. Pakcik saya sanggup datang dari Terengganu berkereta bersama beberapa orang rakannya. Kebanyakan tanah kosong di kawasan rumah saya juga di penuhi dengan orang-orang bermain bola sejak dua hari lepas. Ada juga yang perlu memilih nak tengok bola atau Rock The World. Namun yang paling hangat adalah anak siapa yang main laser tadi sampai kecoh satu stadium!



Beberapa orang kenalan saya ada memberi komen-komen mengenai insiden berkenaan. Pipiyapong kata nasib baik yang laser tu tak terkena sultan dia (Sultan Pahang), kalau tak buruk padahnya. Vovin pula kata tak kira la kat mana pun, Malaysia ada orang bodoh, Indonesia pun ada orang bodoh. Jadi, jangan ikut flow orang bodoh. Pipiyapong kata lagi, Polis Pangkat Banyak pula kata pada dia yang operasi mencari siapa yang main laser tadi adalah task yang paling mencabar sejak bergelar polis. Perkara ini harus di teliti dengan sebaiknya oleh pihak berwajib supaya ia tidak akan terus di jaja dalam senario bola sepak asia untuk jangaka masa 5 tahun seterusnya. Ini lah yang menariknya pasal bolasepak!

Skuad Malaysia tampil dengan semangat yang luar biasa dan peningkatan mendadak sejak menukar imej ke jersi biru.

Semua pemain dan semua posisi bergerak dengan baik walaupun ada beberapa salah faham kecil. Gandingan penyerang lincah dan berbahaya Kelantan yang baru saja melangsungkan perkahwinan 2 hari lepas iaitu Norsharul Idlan dan Safee Sali sangat membunuh!. Amirulhadi pada mulanya juga agak 'lemas' mungkin kerana rentetan kecederaan beliau dan di tukar dengan pemain dari Terengganu Ashaari Shamsudin yang menyumbangkan gol kedua. Mahali Jasuli juga sangat bagus bagi saya walaupun dalam 10 minit terakhir di tukar dengan Sabre Abu. Pujian lebih sikit harus di berikan pada jentera pertahanan terutama kepada Mohd Muslim, Mohd Fadhli dan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang menunjukkan keserasian yang baik. Namun, pujian harus di berikan kepada semua pemain kerana telah bertindak cemerlang dan seterusnya membalas dendam kekalahan pada perlawanan pembukaan pada tempoh hari.

Agak tidak keterlaluan rasanya jika saya mengeluarkan teori mengatakan kerancakan bolasepak tanah air kita ini adalah rentetan dari kesinambungan kejayaan pasukan Kelantan membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu. Momentum ini di teruskan pula oleh dua orang pemain Kelantan yang setakat ini kedua-duanya menunjukkan aksi yang cemerlang dan setaraf dengan pemain bertaraf dunia. Bila ada pancaran laser dan mercun yang di baling ke padang tadi, ada juga saya terdetik kalau perlawanan in melibatkan Kelantan, pasti laporan yang di tuliskan agak kurang senang di dengar. Bukan tak boleh di kritik, tapi sepatutnya hukuman berdasarkan fakta yang betul bukan tuduhan semata. Macam Vovin cakap tadi, orang bodoh ada di mana-mana. Di Indonesia ada, di Malaysia pun ada. Harap FAM boleh ambil note tentang perkara ini ke arah pembangunan budaya sukan yang lebih sihat.


MALAYSIA 3 - INDONESIA 0


Begitulah sedikit sebanyak dari perspektif saya yang hanya menonton perlawanan tadi dari kerusi empuk di depan TV. Saya tak mau over konfiden tapi saya agak optimis yang Malaysia akan membawa pulang Piala AFF Suzuki ini pulang ke tanah air pada edisi kali ini jika semangat dan permainan yang di tunjukkan nanti setara atau lebih baik dari perlawanan tadi. Namun, jangan lah kita nafikan semangat melawan Indonesia. Apa saja boleh berlaku dalam 90 minit berikutnya. Pastinya, sehingga ke tarikh 29 Disember nanti, isu milik siapakah piala AFF Suzuki Cup ini pasti menjadi bualan hangat di tabloid mereka sementara itu siapakah tuan empunya alat pancaran laser tadi pasti menjadi tanda tanya.

Jumpa di Gelora Bung Karno!

Sabtu, 25 Disember 2010

Countdown # 2 - Selamat Hari Natal Mr. Obama

Dia melemparkan senyuman yang panjang di hujung teks ucapan sempena sambutan hari Krismas sekaligus mematikannya dengan lafaz "God Bless America" seraya di ikuti dengan tepukan dan sorakan ucapan selamat dari penyokong-penyokong yang menyanjungi karekter dan kredibiliti beliau sebagai salah seorang manusia yang mencipta sejarah dalam kelas yang tersendiri. Bukan ramai orang kulit hitam yang dahulunya hanya menghuni hierarki di kelas paling bawah, bahkan di Amerika setakat ini, dia lah orang yang pertama!

Mr. Obama sedar akan hakikat itu. Dia melambai-lambai dan beberapa orang ejen CIA mendekati beliau dan seterusnya mengiringi beliau ke limosin peribadi tetapi di daftarkan sebagai harta negara Amerika Syarikat yang terletak hanya beberapa meter dari pentas ucapan yang betul-betul berhadapan dengan White House di Bukit Capitol, Washington DC.

Sebelum masuk ke dalam limosin mewahnya itu, dia sekali lagi menjenguk kepalanya memandang ke arah penyokong-penyokongnya sebagai tanda ucapan selamat tinggal. Dia sempat menjeling kepada beberapa orang pegawai White House yang turut berada di lokasi. Saya kurang pasti kesemuanya, tapi seingat saya dia sempat melemparkan pandangan terakhir kepada bekas setiausaha pertahanan negaranya sambil berkata " See you in hell"

Tup! Pintu limosin Mr. Obama di tutup oleh butlernya. Limosin beliau mula meluncur perlahan di iringi dengan beberapa orang pasukan polis yang menaiki motorsikal, kereta dan kuda. Ada juga yang berlari-lari anak mengawal rapi limosin sebagai perisai jika terdapat cubaan untuk membunuh dari mana-mana penempak tepat upahan sebelum kenderaan yang di naiki oleh presiden itu berada dalam jarak dan keadaan yang selamat. Bunyi siren menenggelamkan bunyi-bunyi yang lain.

Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki lingkungan 20-an berlari-lari mengejar kenderaan yang di naiki presiden itu sambil menjerit,

"Merry Christmas Mr Obama. I got something for youuuuuu".
Sebelum dia di halang oleh beberapa orang orang awam yang berada di situ dan di serahkan kepada polis cap ayam Bukit Capitol. Washington DC.



Countdown # 1 - Siri Membela Saka

Muluk (bukan nama penuh) merenung jauh dari para depan rumahnya. Sudah 2-3 hari dia rasa tak sedap badan. Tangan kirinya juga semakin hari semakin lenguh. Bini nya Saerah (juga bukan nama penuh), juga mengadu kerap sendawa dan tersedu. 2 orang anak mereka juga seringkali menangis bila masuk waktu maghrib. Selain dari itu, Muluk dan isteri kerap mengalami rasa pening dan sakit kepala.

Muluk memandang isterinya yang berdiri di pangkin rumah. Terserlah keresahan di muka Saerah. Kedua-dua mereka mengetahui. Apa yang menimpa mereka ada kaitannya dengan apa yang berlaku 3 hari lepas apabila jiran mereka di serang histeria. Ketika itu, Muluk dengan ilmu yang tidak seberapa cuba untuk membantu jirannya dari serangan makhluk halus. Namun kini, dia yang mendapat sedikit sebanyak tempias gangguan tersebut.

Mereka berdua bersepakat untuk berubat. Di sebabkan kedua-dua mereka mempunyai asas pengetahuan agama yang agak tinggi, jadi mereka bercadang untuk merujuk pakar atau pengamal perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam kaedah rawatannya.

Tibalah hari yang di janjikan. Muluk dan Saerah tiba di pusat rawatan Ustaz Arif (bukan ustaz sekolah agama) iaitu seorang pengamal perubatan Islam yang arif dalam ilmu-ilmu paranormal khususnya ilmu jin dan beliau juga sudah berkemahiran dan boleh di katakan profesional dalam bidang ini berdasarkan port folio nya yang begitu kemas kerana telah berjaya mengubati ramai pesakit yang terkena gangguan.

Upacara rawatan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Ustaz Arif dan 2 orang pembantunya tidak putus-putus mengalunkan bacaan Al-Quran dan mengumandangkan azan. Ternyata, kehadiran makhluk halus yang di kategorikan ustaz Arif sebagai jin telah bertindak balas dengan ayat-ayat suci tadi. Kesannya, Muluk dan Saerah menggigil seperti kesejukan. Ustaz Arif meletakkan tangan di belakang kepala Saerah lalu di menjerit-jerit seperti orang gila. Langsung sama sekali perwatakannya bertukar (kalau mak Saerah tengok dia masa tu pun gerenti mak dia pun cakap dia gila). Saerah agak agresif. Menepis-nepis tangan ustaz Arif dan pembantunya. Kadang-kadang dia melepaskan tendangan. Tapi sia-sia saja hanya dia menendang angin.

Muluk pula kelihatan sedikit terkawal. Tapi agak agresif juga ketika ustaz Arif meletakkan tangan di ubun-ubunnya. Ustaz Arif mula berkomunikasi. Dengan dialog yang biasa kita lihat dalam filem-filem dan drama-drama seram sekarang.

"Kenapa kau kacau manusia". Tanya Ustaz Arif

"Aku benci manusia". Jawab Muluk selamba. Sebenarnya jin yang merasuknya.

"Baik kau keluar atau kau mengucap sekarang". Ustaz Arif memberi tekanan kepada Muluk.

"Arghhhhhhhhhhh....". Muluk cuba melawan.

"Kau mahu keluar atau mau aku bacakan ayat-ayat al-Quran?". Ugut ustaz Arif

Tiba-tiba Muluk diam tidak melawan. Reaksinya seolah-olah seperti anak kecil yang ditakutkan dengan tok mudim.

"Atau aku laungkan azan di telinga" tambah ustaz Arif lagi.

Muluk menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu. Ustaz Arif kemudiannya meneruskan rawatan ke peringkat yang lebih dalam lagi sehingga kedua-dua pasangan tersebut berjaya di pulihkan. Di khabarkan terdapat lebih dari seekor jin yang bermaustautin dalam badan salah seorang dari mereka. Dan sifat utama jin ini adalah mereka suka menipu.

Persoalannya, sudah berapa ramaikah manusia yang telah di tipu oleh jin sepanjang dunia ini wujud dan kenapa sebahagian besar drama bersiri di TV3 sekarang ni di isi dengan slot cerita seram dan tahyul?

Yang bagusnya, budak-budak dah tak takut hantu sangat sebab hantu zaman sekarang dah selalu sangat nampak dalam TV.

Dan, adakah manusia betul-betul mengambil pelajaran dan merasa takut seperti jin-jin tersebut takut apabila di bacakan Al-Quran?

Menjelang Hari Krismas

Tup Tap Tup Tap...dah nak akhir tahun lagi. Maknanya, dah nak masuk tahun baru.

Fuhhhhh...memang mengeluh panjang bila memikirkan pasal dua perkara yang selalu orang sebut kalau cakap pasal kehidupan ni. Antara ruang dan masa!

Ruang untuk aku bergerak masih lagi terbatas dan dalam konteks masa pula aku memang selalu dalam kerugian. Perlukan satu Vitamin X untuk tahun baru!