Selasa, 4 Januari 2011

Kerisauan

Selain dari kemenangan Malaysia merangkul juara AFF Suzuki Cup, magis Khairul Fahmi di posisi penjaga gol mahupun aweknya yang sedang dalam dilema akibat terkesan dengan tindakan beberapa cheesy haters, ada sesuatu yang lain bermain di benak fikiran saya. Mata saya juga kerap terlihat bayangan-bayangan berupa nombor.

Kalau di campur bulan lepas dan suku dari bulan ini, saya berkira-kira sudah 3 kali saya berulang alik ke KLIA. Semuanya atas urusan orang lain. Mungkin ini tidak kedengaran pelik bagi pemandu-pemandu limo atau ERL kerana dalam sehari pun perjalanan mereka ke KLIA lebih dari 3 kali. Perjalanannya tidaklah jauh. Tapi sudah cukup syarat untuk sembahyang jamak kalau berulang alik. Dalam 3 perjalanan ini, saya puratakan jaraknya dalam lingkungan 120 kilometer untuk satu perjalanan. Itu tidak termasuk kalau melencong masuk jumpa abang saudara di Nilai atau terlajak sebab tak nampak papan tanda ke KLIA. Kes ini pasti jarang sekali berlaku. Tapi ada.

Seingat saya, perjalanan pertama adalah di atas sebab musabab menyambut kepulangan seorang sahabat yang baru pulang dari menunaikan haji. Sahabat saya ini sudah berumur. Dalam lewat 40-an. Anak perempuannya juga hampir sebaya dengan saya. Takut pula saya nanti dari sahabat terpaksa menjadi keluarga. Ya! Saya takut kerana anak sahabat saya itu tidaklah berapa cun. Tapi orang kaya! Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada saya kerana masalah yang sebenar adalah kelewatan penerbangan sahabat saya mengakibatkan saya yang terpaksa transit di KLIA dalam kadar 3 jam. Tak lama bukan? Hanya sama dengan jangkamasa sebuah filem Hindustan.

Perjalanan kedua melibatkan proses penghantaran sepupu saya yang setahun tua dari saya. Kali ini dia ingin merantau ke Papua New Guinea selama 3 bulan. Serius. Saya tergelak kecil ketika ini kerana memikirkan yang dia cuba untuk meniru lawak dalam komik-komik Ujang yang sememangnya menjadi koleksi saya ketika berada di tingkatan 5. Rupa-rupanya dia telah mengikat kontrak dengan sebuah syarikat yang berjaya mendapatkan tender untuk pemasangan pencawang bagi syarikat telekomunikasi. Saya sebenarnya tahu nama saja, kedudukan dalam peta saya tak tahu kat mana. Tapi sepupu saya cakap kedudukan Papua di antara sempadan Indonesia dan Australia. Bunyi macam menarik juga.


Perjalanan ketiga baru saja selesai sebentar tadi. Kalau pegang bonet depan pun nescaya masih panas lagi. Perjalanan ini yang paling menarik kerana melibatkan ramai orang atau kumpulan atau lebih mesra di panggil sebagai jemaah. Ia melibatkan 8 orang jemaah dakwah tabligh yang salah seorangnya adalah bapa kepada kawan saya. Kami pergi dua biji kereta. Dalam perjalanan pulang, saya yang baru beberapa minit mengenali mereka sudah di ajak untuk 'keluar'. Maksud keluar adalah keluar berdakwah bersama mereka. Mereka baru sahaja menghabiskan 40 hari berdakwah di Sabah, Sarawak dan Brunei dengan kos RM 1200 orang sahaja. Rasanya ini termasuk tiket. Katanya lagi, peringkat tertinggi adalah melengkapkan tour IPB (India Pakistan Bangladesh), kalau tak silap dalam 40 hari juga. Tapi saya sengih saja. Saya berjanji akan mengikut mereka keluar suatu hari nanti. Itupun kalau mereka dapat bagi jawapan yang mana datang dulu? Telur atau ayam? Kalau tak dapat jawab saya tak nak ikut.

Hingga ke saat ini juga meter kereta saya juga sudah melebihi paras yang perlu di servis. Dah lebih 5000km ++. Enjin juga semakin kasar bunyinya. Masuk gear pun dah tak berapa nak lancar. Nampak saja gempak pergi KLIA memanjang, tapi hakikat sebenar orang tak tahu. Nak servis kereta pun sesak.

Tiada ulasan: