Sabtu, 8 Januari 2011

Patahnya Hati Seorang Lelaki

Selamat Datang Ke Kem Kecemerlangan Pelajar.
Tarikh : 24.10.2005-26.10.2005.
Tempat : Pusat Latihan Tembakau Pasir Puteh.

"Apa kelas kem kecemerlangan pelajar buat dekat pusat latihan tembakau?". Detik hati kecil Nik Amir ketika mengamati sepanduk yang menyambut kedatangannya ke program 3 hari 2 malam anjuran institusi pengajiannya itu. Dia memang tidak berbesar hati pun untuk menyertai kem tersebut. Kalau bukan kerana faktor wajib menghadirkan diri untuk melengkapkan syarat bagi kemasukan semester depan, sudah pasti sekarang ini dia sedang bergoyang kaki di para rumahnya sambil menunggu-nunggu kalau jodohnya tiba.

"Ah! Biarlah. Janji free. Lagipun ok jugak hostel dia". Dia berkata dalam hati lagi sambil memerhati keadaan sekeliling. Tiada seorang pun dalam 114 peserta itu orang yang dia kenali. Dalam kelasnya, hanya dia seorang sahaja wakil. Menyesal juga dia bila di fikirkan balik. Bukannya dia tak dapat buat masa final exam. Ini semua gara-gara Encik Akmal Hakim yang selalu saja tidak puas hati dengannya. Nik Amir pun kurang mengerti kenapa Encik Akmal Hakim perlu mengheret kes dia terlupa membawa kertas graf pada kuiz Kejuruteraan Bendalir semester lepas sehingga diberi status GAGAL dalam matapelajaran tersebut. Dia tak suka apabila slip keputusan peperiksaannya nampak tak cantik. Satu subjek tak cantik, pointer pun jadi tak cantik. Lagi Nik Amir tak suka apabila berlakunya penyerahan slip keputusan itu untuk dinilai oleh ayahnya kelak.

Ini bukan kali pertama Nik Amir ke kem seperti ini. Masa sekolah dulu pun dia selalu di pilih untuk menghadiri kem motivasi sebagai wakil sekolahnya. Biasanya, ia melibatkan kem-kem bina diri, bina akhlak atau bina kecemerlangan. Ini di akui sendiri oleh ibu dan bapanya yang diri, akhlak dan kecemerlangan bagi Nik Amir adalah seperti tanah kosong yang rata. Sebab itu ia perlu di bina. Jadi, berbekalkan pengalaman itu Nik Amir rasa tiada masalah untuk dia menyerap sebarang situasi dan berhadapan dengan karekter-karekter yang luar biasa dan tidak masuk akal nanti. Matanya melilau-lilau ke arah sekumpulan pelajar perempuan yang mengatur langkah ke dorm.

"Hmmmm...sayang. Muka cantik" kata Nik Amir kepada dirinya sendiri.

Nik Amir perasan yang dari tadi dia asyik berkata-kata dalam hatinya sendiri. Sedang dia cuba menggambarkan yang ini bukan lah suatu tekanan malah ibarat satu percutian percuma untuk dinikmati. Dia mengorak langkah untuk menyesuaikan diri. Perlahan-lahan dia menyusun langkah ke kaki lima belakang dorm lelaki. Dia berkira-kira lagi selepas habis sebatang rokok ni, dia akan cuba untuk berbual-bual dengan peserta lain.

Baru saja dia memasang api pada rokoknya, belum sempat pun asap pertama di hembus, satu suara menyapa lembut dari belakang. Nik Amir terkejut. Fuh! Nik Amir menarik nafas lega. Seorang peserta lelaki menyapanya. Dia membalas dengan senyuman ikhlas yang menyayat hati. Dia kira suara Ketua Program tadi. Kalau tidak habis lah sekotak Dunhill besar yang baru di belinya sebelum naik bas tadi.

"Rokok?" Nik Amir menawarkan sebatang rokok sebagai tanda ikatan tali persahabatan. Mungkin budak ini boleh jadi kawan pertama dia di sini.

"Bang, saya lupa nak beli rokok tadi masa nak datang sini. Saya bayar rokok abang sebatang boleh?" kata budak tu tanpa memperkenalkan nama pun. Tapi Nik Amir tak kisah. Nama sekejap lagi boleh tanya.

"Eh..takpe laa..tak payah bayar..ambik je" Nik Amir cuba masuk jarum lagi. Ini cara dia. Manusia senang sangat untuk di beli. Walaupun hanya dengan sebatang rokok. Ini falsafah yang dia pelajari ketika menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat kontraktor di Kota Bharu selama 6 bulan.

" Betul ke bang?" Jelas terpancar riak yang ceria di muka budak itu.

"Kalau macam tu saya ambik dua eh. Nak spare lepas makan jap agi sebatang" Sambung budak tu dengan tidak menunjukkan riak muka bersalah.

Budak itu pun berlalu pergi selepas mengucapkan terima kasih. Nik Amir hanya mampu melihat susuk tubuh budak itu dari belakang perlahan-lahan meninggalkannya. Memang dia nampak budak tu kecil saja. Tapi syukurlah tiada sebarang kecederaan jiwa yang berlaku.

Tiada ulasan: