Khamis, 20 Januari 2011

Mari Bertaubat

Aku seorang yang selekeh. Selekeh habis. Baju besar dan menggeleber. Seluar labuh sampai sapu semua taik ayam atas jalan. Rambut bersepah. Jarang pakai kasut. Banyak heret selipar saja. Memang tak menarik langsung kalau awek tengok. Setakat ni juga, memang tak ada seorang pun awek yang tengok. Tapi hero takde hal. Itu perkara kecil saja. Hero tak cepat menggelabah.

Aku memang seorang yang ringkas. Kalau setakat nak keluar tapau nasi atau beli rokok dengan kedai runcit dekat luar sana. Kadang-kadang aku redah dengan kain pelikat saja. Bukan sapa nak tengok pun. Macam aku cakap tadilah. Kalau ada awek tengok pun, belum tentu dia berkenan.

Jadi, nak di jadikan cerita. Semalam, keluarlah aku menapak ke kedai depan dengan berkain pelikat, berselipar jepun dan berbaju T murah saja. Tak bawa wallet tak bawa apa cuma berbekalkan RM 50 untuk bayar nasi saja. Masa akak kedai makan tu tengah goreng nasi, duit aku tercicir. Kalau dah tercicir tu maknanya aku tak perasan la kan. Lalu, si akak kedai makan tu pun menegur. Katanya duit aku jatuh.

Dia buka cerita lagi. 2-3 hari lepas ada kemalangan. Habis syiling terburai atas lebuhraya. Ramai orang kutip. Ada yang datang pakai penyodok. Aku jawab aku pun ada baca pasal berita tu. Macam cerita Ali Baba Bujang Lapok. Dia tambah lagi, sebelum sebelum tu dekat Shah Alam, ada seorang hamba Allah yang keluarkan RM 5000 tapi nasib malang duitnya di tiup angin. Mat indon, bangla, melayu, kacukan siam-pakistan semualah yang ada dekat-dekat situ macam orang gila berpesta kutip duit. Macam baru jatuh dari langit. Aku jawab. Yang itu aku baru tahu. Tak masuk dalam paper kot.

Panjang jugalah akak kedai makan tu hurai. Siap masuk bab rezeki lagi. Siap keluar ayat 1000 Dinar lagi. Aku iya kan saja. Iya lah. Dah memang betul apa yang akak tu cakap. Nak kena pikir jugak rezeki ni datang dari mana sebenarnya. Betul ke rezeki tu datang sebab kita usaha? Kalau dalam Quran, Dia kata semua yang ada pada makhluk itu tidak akan berlaku kerana bukan izin Allah.

Setelah selesai membayar, aku menapak balik. Dalam kepala masih lagi terfikir apa yang akak kedai makan tu cakap tadi. Sambil-sambil aku senyum. Ada seorang awek lalu dari depan. Dia pun senyum-senyum juga. :)

Tiba-tiba baru aku perasan. Kenapa ada benang tebal kat baju aku ni?

Akak kedai makan tu pun satu, langsung tak warning baju aku terbalik. Dem!